Sejarah Awal Andalusia




Hasrat penyebaran Islam ke Andalusia telah bermula semenjak Islam memasuki Afrika Utara pada tahun 22 Hijrah atau 644 Masihi. Iaitu 70 tahun sebelum Andalusia berjaya ditakluki. Penyebaran dakwah Islam terus berkembang semenjak zaman Rasulullah s.a.w., khulafa Ar-Rasyidun, Bani Umaiyyah dan zaman seterusnya.


Antara tokoh penting yang melakar kejayaan memasuki Andalusia adalah seorang tabien iaitu generasi yang sempat bertemu Sahabat tetapi tidak sempat bertemu Rasulullah yang bernama Musa bin Nusair. Dia dilahirkan pada tahun 19 Hijrah di Damaskus. 


Sepanjang hidupnya dia melalui beberapa zaman pemerintahan serta peristiwa penting seperti pembunuhan khalifah Uthman bin Affan dan peperangan Siffin antara khalifah Ali dan Muawiyah bin Abi Sufyan.


Ibnu Khalikan mencatatkan tentang Musa bin Nusair dengan mengatakan,

“Dia seorang yang cerdas, berakhlak mulia, berani, wara dan bertaqwa kepada Allah. Pasukannya tidak pernah kalah.”

Hubungan Musa bin Nusair dengan Muawiyah sangat erat namun dia tidak turut serta dalam peperangan Siffin bersama pasukan Muawiyah. Pendiriannya tetap dan tidak mahu mencampuri isu yang berlaku pada masa tersebut. Pada masa usia yang muda ini lagi Musa bin Nusair telah melibatkan diri dalam dakwah dan jihad fi sabilillah. 


Musa bin Nusair pernah menjadi gabenor di Afrika pada tahun 89 Hijrah iaitu semasa pemerintahan Bani Umayyah khalifah Al-Walid bin Abdul Malik. Ketika inilah dia berusaha bersungguh-sungguh menguatkan Islam di Maghribi kerana sebelum ini penduduk di sini pernah murtad lebih dari sekali.


Misi penyebaran Islam menjadi lebih lengkap apabila Musa bin Nusair menemui seorang calon panglima perang yang hebat iaitu Tariq bin Ziyad yang juga merupakan seorang gabenor. Hasil gabungan mantap dua orang panglima hebat ini yang masing-masing terkenal dengan kewarakan, keberanian dan kesungguhan dalam dakwah telah merintis jalan memasuki Andalusia.


Tariq bin Ziyad adalah sosok tubuh yang terkenal dalam sejarah Andalusia. Nama lengkapnya adalah Tariq bin Ziyad bin Abdullah bin Walgho bin Walfajun bin Niber Ghasin bin Walhas bin Yathufat bin Nafzau. Dia dilahirkan pada sekitar tahun 50 Hijrah. Asal keturunannya tidak diketahui secara pasti. Namun beberapa ahli sirah mencatatkan Tariq bin Ziyad bukan berbangsa Arab tetapi berasal dari keturunan Barbar yang menguasai Afrika Utara.


Musa bin Nusair telah melihat kemampuan dan kehebatan Tariq bin Ziyad. Lalu dia telah melantik Tariq bin Ziyad untuk memimpin satu pasukan menuju ke Andalusia. Perwatakan yang dimiliki oleh Tariq bin Ziyad sangat luar biasa, dia merupakan seorang yang wara’, alim, mencintai jihad dan sanggup mati syahid dalam mempertahankan Islam. Ciri-ciri ini amat perlu bagi seorang pemimpin yang akan membawa satu pasukan tentera menyeberangi Selat Gibraltar atau Jabal Tariq.


Tariq bin Ziyad menjadi pilihan Musa bin Nusair berbanding para pemimpin yang berketurunan Arab. Antara sebab utamanya adalah mudah bagi Tariq bin Ziyad memimpin pasukan tentera Barbar yang menghormatinya serta kemampuan menguasai bahasa mereka. Tariq bin Ziyad menguasai bahasa Arab dan Barbar manakala bangsa Barbar tidak boleh berbahasa Arab.


Sebelum misi memasuki Andalusia dilaksanakan, Musa bin Nusair membuat persiapan yang rapi. Tugas utamanya adalah mengajarkan ilmu Islam kepada bangsa Barbar secara rasmi dan umum. Dia memberikan latihan dakwah yang lengkap agar mereka faham tujuan memasuki Andalusia adalah untuk menyeru kepada Islam bukan seperti para penjajah yang memasuki wilayah untuk menjarah hasil masyhul bumi yang dikuasai. 


Hakikat yang perlu difahami pada zaman tersebut memasuki wilayah adalah dengan tawaran Islam, memasuki wilayah dengan jaminan keselamatan atau peperangan. Hanya ada tiga pilihan sahaja untuk memasuki mana-mana wilayah mengikut sistem zaman pada masa tersebut. Para tentera diberi latihan untuk terus mempamerkan akhlak Islam agar menjadi contoh serta membuka pintu hati penduduk untuk menganut Islam sebagai agama yang benar.


Sejarah juga telah menunjukkan penjajahan dalam mana-mana wilayah telah mengabaikan prinsip kemanusiaan, merampas, menindas dan membunuh para penduduk. Sedangkan Islam yang memasuki wilayah tidak melakukan sedemikian. Peperangan adalah pilihan terakhir, pembunuhan hanya terhadap tentera dan mereka yang memberontak sahaja.

Oleh sebab itu misi memasuki Andalusia bukan misi penjarahan wilayah atau merampas hasil bumi. Misinya membawa obor Islam menyelamatkan dari kekufuran.


Musa bin Nushair seorang strategis yang mengambil kira banyak faktor sebelum meneruskan misi ke Andalusia. Semasa Islam sudah semakin kukuh di Afrika Utara baharulah penyusunan plan ke Andalusia menjadi keutamaannya. Menyeberangi Selat Gibraltar atau Jabal Gibraltar bukan satu tugas yang mudah untuk memasuki Andalusia.


Antara faktor yang menjadi penghalang Musa bin Nushair ketika itu adalah tidak memiliki pasukan armada laut yang cukup untuk menyeberangi laut yang jaraknya 13 km. Malah mereka tidak mempunyai kepakaran dalam armada laut. Mereka perlu menyediakan kapal-kapal yang besar kerana selama ini mereka hanya memiliki kapal yang kecil sahaja.


Selain itu sebelum meninggalkan wilayah yang dikuasai untuk memasuki Andalusia Musa bin Nushair perlu memastikan penganutnya memahami dan mengamalkan Islam serta mempunyai semangat jihad yang tinggi. Dengan mengabaikan perkara penting ini akan mengundang masalah yang besar seperti kata pepatah yang dikendong tercicir yang dikejar tidak dapat.


Faktor seterusnya ialah kedudukan Andalusia yang mempunyai beberapa pulau yang dikuasai oleh golongan Nasrani. Pulau tersebut adalah Mallorca, Manucara dan Ibiza. Keselamtan mereka sebelum memasuki Andalusia perlu diberi perhatian agar tidak terperangkap ketika hampir memasukinya jika diserang dari penduduk ketiga-tiga pulau ini.


Kaum Muslimin yang terdiri dari panglima yang hebat turut bertempiaran di wilayah-wilayah lain bagi misi menyampaikan dan mengukuhkan Islam. Maka untuk memasuki Andalusia perlu kepada kumpulan Muslimin yang besar dan cekap. Afrika Utara adalah wilayah yang luas, para pendakwah perlu masuk ke pelosok desa bagi menyampaikan dan juga mengajarkan Islam. Justeru itu masa banyak dihabiskan bagi membina umat Islam yang kukuh akidahnya serta pengamalan Islamnya.


Pengaruh Nasrani agak kuat di sekitar Andalusia serta mereka mempunyai kelengkapan persenjataan. Jika Musa bin Nushair tidak cekap misi ini boleh gagal dan sukar untuk mengatur misi yang kedua. Oleh sebab itu strategi yang cekap perlu dirancang dengan teliti. Semangat untuk memasuki Andalusia sentiasa membara dalam jiwa Musa bin Nushair dan kaum Muslimin.


Uthman bin Affan pernah berkata sebagaimana dicatat oleh Imam At-Tabari dan Ibnu Katsir,

“Konstantinopel hanya boleh dikuasai dari arah laut. Jika kamu dapat menguasai Andalusia nescaya kamu akan mendapat pahala sama seperti mereka yang menguasai Konstantinopel di akhir zaman.”


Musa bin Nushair seterusnya membuat perancangan untuk menguasai kepulauan Balyar. Dengan penguasaan ini lebih mudah baginya untuk memasuki Andalusia agar tidak diserang dari arah belakang. Strategi yang disusun oleh Musa bin Nushair ini mencapai kejayaan. Seterusnya dia menempatkan kaum Muslimin di Kepulauan Balyar.


Namun kekuatan pasukan kaum Muslimin masih belum cukup mantap untuk memasuki Andalusia. Musa bin Nushair perlu berhadapan dengan Roderic yang telah melakukan kudeta terhadap Raja Andalusia iaitu Witiza. Selain itu terdapat kota Sabtah (Ceuta) yang dikuasai oleh Julian yang dahulunya bersahabat baik dengan penguasa Andalusia. 


Musa bin Nushair khuatir jika Julian bergabung dengan Roderic tentu kaum Muslimin sukar untuk memasuki Andalusia. Bahkan kedudukan tentera Muslimin pastinya dalam bahaya. Halangan ini telah membantutkan usahanya untuk meneruskan misi ini. Apa yang terdaya dilakukan olehnya pada masa itu ialah mengukuhkan armada laut, membangunkan beberapa pelabuhan dan kapal yang besar. 


Hasrat untuk membawa Islam masuk ke Andalusia semakin membara dalam jiwa Musa bin Nushair. Disamping segala persiapan fizikal dia tidak pernah lupa untuk memohon pertolongan Allah SWT. Kebuntuan fikirannya akhirnya mendapat pertolongan dari Allah SWT. 


Julian melihat kaum Muslimin semakin hampir dengan Sabtah yang dikuasainya. Pada masa yang sama Julian menyimpan dendam dengan Roderic kerana telah membunuh Witiza yang merupakan sahabatnya semasa kudeta atau rampasan kuasa. Hubungan Julian dengan anak-anak Witiza sangat rapat sehinggakan mereka meminta bantuannya untuk menyingkirkan Roderic.


Julian mendapat idea untuk berhubung dengan Musa bin Nushair bagi mengalahkan Roderic penguasa Andalusia. Apa yang terjadi?


Julian telah menghantar wakilnya untuk bertemu dengan Tariq bin Ziyad gabenor Tanger untuk berunding. Dia menawarkan beberapa perkara bagi membantu pasukan kaum Muslimin memasuki Andalusia. Antara tawarannya adalah,


1. Julian bersetuju untuk menyerahkan pelabuhan Sabtah (Cueta) kepada kaum Muslimin. Ini adalah laluan yang penting bagi menyeberangi Selat Gibraltar. Tawaran ini tentu sekali amat bermakna bagi pasukan kaum Muslimin bagi menyelesaikan misi yang tertangguh selama ini.


2. Julian menawarkan untuk memberikan segala informasi tentang laluan serta muka bumi Andalusia. Dia lebih tahu laluan dan selok belok muka bumi Andalusia.


3. Sebagai imbuhan Julian meletakkan satu syarat iaitu dia mahu semua harta, bangunan dan tanah milik bekas penguasa Witiza yang telah dirampas oleh Roderic diberikan kepadanya. Jumlah hartanah milik Wizita melebihi 3000 yang sepatutnya diwariskan kepada ahli keluarganya telah menjadi milik Roderic. 


Tawaran dan permintaan Julian tidaklah menjadi kesukaran untuk dipenuhi kerana tujuan utama misi ke Andalusia bukanlah untuk merampas hasil mahsul negara tersebut. Dengan misi menyebarkan Islam, harta dunia ini tidak sedikit pun menambat hati para syuhada di jalan Allah SWT. 


Tariq bin Ziyad segera mengirimkan utusan untuk menyampaikan tawaran Julian kepada Musa bin Nushair yang pada ketika itu berada di Qairawan, Afrika Utara kini namanya Tunisia. Apabila mendengar tawaran ini maka gembiralah Musa bin Nushair. 

Hasrat dan doanya selama ini telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Sebelum ini dia buntu mencari jalan untuk memasuki Andalusia, kini dengan pertolongan Allah SWT cita-citanya akan tercapai dengan mudah. Benarlah firman Allah SWT di dalam al-Quran,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad 47:7)


Lantas Musa bin Nushair mengirimkan utusan kepada khalifah Bani Umayyah Al-Walid bin Abdul Malik memohon kebenaran untuk memasuki Andalusia. Khalifah bersetuju memberikan keizinan kepadanya untuk meneruskan misi tersebut. Malah khalifah amat prihatin dengan keselamatan para tentera yang akan terlibat dalam misi ini.  Lalu khalifah meminta agar dihantar satu pasukan peninjau terlebih dahulu untuk memasukinya. Tujuannya agar kaum Muslimin dapat berhati-hati tidak masuk perangkap musuh kerana Julian dahulunya bersahabat baik dengan penguasa Andalusia. Apa-apa kemungkinan boleh sahaja terjadi.


Misi pasukan peninjau yang diketuai oleh Tharif bin Malik dengan membawa 500 orang berakhir dalam tempoh satu tahun. Sementara itu Musa bin Nushair giat membuat kapal-kapal bagi menyeberangi memasuki Andalusia. Apabila kapal-kapal ini siap, Musa bin Nushair telah mengirimkan 5000 orang tentera bantuan kepada Tharif bin Malik. Kemudiannya Tariq bin Ziyad pula membawa armada laut yang berjumlah 7000 orang bersamanya. Pasukan ini kemudiannya bergabung menjadikan jumlah keseluruhannya 12,000 tentera kaum Muslimin.


Sebelum tiba di Andalusia, Thariq bin Ziyad telah singgah di satu gunung yang dikenali dengan Jabal Thariq atau gunung Thariq atau gunung Gibraltar. Dari gunung ini mereka menuju ke Jazirah Al-Khadhra atau Green Island. Berlaku pertempuran antara tentera Tariq bin Ziyad dengan pasukan Tedmore pemimpin di kawasan tersebut. Peperangan tercetus apabila mereka menolak untuk menerima Islam atau membayar jizyah sedangkan harta mereka tidak akan dirampas.


Pasukan Tedmore tewas dalam peperangan ini, lalu dia menghantar surat memohon bantuan dari Roderic. Al-Muqri dalam bukunya Naft Ath-Thib mencatatkan isi kandungan surat Tedmore sperti berikut,

“Segera bantu kami wahai Roderic. Kami menghadapi satu pasukan yang kami tidak tahu apakah mereka itu dari bumi atau langit? Mereka telah menginjakkan kaki ke wilayah kita ini dan aku telah berjumpa dengan mereka. Segeralah pimpin pasukan untuk menghadapi mereka.”


Suatu yang menarik, Tedmore merasa hairan melihat tentera kaum Muslimin. Setelah berjaya menewaskannya, tentera Muslimin tidak bertindak seperti para penjajah yang memasuki wilayah. Mereka tidak membunuh orang awam sesuka hati, merampas dan membakar rumah-rumah penduduk, tidak melakukan pengkhianatan terhadap wanita dan sebagainya.


Malah lebih menghairankannya mereka hanya diseru untuk menerima Islam sebagai anutan manakala yang tidak menerimanya tidak diperlakukan dengan zalim. Tedmore melihat tentera Islam tetap mengerjakan solat dan bertahajud pada malam harinya. Sedangkan mereka adalah panglima yang hebat ketika dalam pertempuran. Gambaran manusia inilah yang menyebabkan dia mengatakan,

“Apakah mereka dari penduduk bumi atau langit?”


Surat meminta bantuan dari Tedmore telah sampai ke tangan Roderic yang ketika itu berada di utara Toledo. Namun Roderic pada awalnya tidak mengambil perhatian kerana beranggapan serangan tersebut anggapannya hanyalah dari perompak sahaja. Selesai merompak mereka akan tinggalkan sahaja perkampungan tersebut. Andaian Roderic meleset.


Apabila berita kemaraan tentera Tariq bin Ziyad sudah sampai ke Cardova lalu Roderic segera kembali ke ibu kota Andalusia iaitu Toledo. Dia mengarahkan agar segera membuat persiapan untuk menghalang pasukan tentera kaum Muslimin. Sepupunya Vinceu yang juga merupakan panglima perang ditugaskan untuk memimpin satu batalion untuk menyerang dan mengalahkan pasukan tentera Tariq bin Ziyad.


Ibnu Adzari dalam bukunya Al- Mughrib Fi Akhbar Al-Andalus Wa Al-Maghrib mencatatkan bahawa telah berlaku pertempuran antara kedua pasukan tentera ini di Jazirah Al-Khadhra. Dalam peperangan ini pasukan tentera Nasrani pimpinan Vincue telah kecundang dan tewas. Pasukan tentera Vincue yang berjaya melarikan diri telah menyampaikan berita kekalahan dan memberi ingatan  kepada Roderic bahawa bahaya yang lebih besar akan datang dari arah selatan.


Roderic yang mendengar berita kekalahan ini menjadi marah. Lalu dia telah mengarahkan supaya dikumpulkan tentera berkuda yang berjumlah besar. Menurut Ibnu Khaldun jumlah tentera ini adalah 40,000 orang manakala menurut Al-Muqri pula adalah 100,000 orang. Pasukan yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad adalah terdiri dari tentera yang berjalan kaki dan sebilangan kecil pasukan berkuda berjumlah 7000 orang sahaja.


Informasi telah sampai kepada Tariq bin Ziyad tentang jumlah tentera Roderic yang besar sedang menuju ke arahnya. Tentulah sukar bagi Tariq bin Ziyad untuk menghadapi pasukan musuh jumlah yang sangat besar ini. Seterusnya dia telah meminta bantuan ketenteraan dari Musa bin Nushari. Pasukan Tharif bin Malik yang berjumlah 5000 orang telah diarahkan oleh Musa bin Nushair dibawa dengan kapal-kapal untuk bergabung dengan pasukan Tariq bin Ziyad. Kini jumlah pasukan tentera Muslimin berjumlah 12,000 orang.


Persiapan untuk menghadapi peperangan ini disusun oleh Tariq bin Ziyad. Dia sedar bahawa pasukannya berada di bumi asing yang memberi kelebihan kepada tentera Roderic kerana mereka lebih mengetahui selok belok negara mereka. Kesilapan Tariq bin Ziyad boleh mengancam nyawa 12,000 tentera kaum Muslimin. Segala perancangan perlu dibuat dengan teliti agar misi ini tidak akan gagal.


Tariq bin Ziyad mencari lokasi yang sesuai untuk menempatkan para tenteranya untuk menghadapi serangan dari tentera Roderic. Lokasi yang menjadi pilihannya adalah Lembah Barbate atau ada sebahagian menyebutnya Lembah Lakka (Lacca). Di bahagian belakang dan kanan lembah ini terdapat gunung yang boleh menjadi pelindung kepada tentera kaum Muslimin. 


Malah di bahagian belakang pasukan tentera Tariq bin Ziyad satu pasukan yang diketuai oleh Tharif bin Malik telah bersedia bagi menghalang tentera musuh dari menyerang. Penyusunan ini memudahkan pasukan tentera Tariq bin Ziyad fokus ketika menghadapi musuh.


Menurut Ibnu Adzari dalam bukunya Al-Bayan Al-Mughrib, tidak lama kemudian muncullah Roderic dengan pasukan tenteranya yang ramai. Kelihatan Roderic memakai pakaian kebesaran yang disulam dengan emas serta memakai mahkota emas di atas kepalanya. Dia menunjukkan kemewahannya sebagai tanda kekuasaan.

Dia turut membawa tali-tali yang banyak. Tujuannya adalah untuk mengikat kaum Muslimin kerana dia yakin akan menang dalam pertempuran ini dengan jumlah tenteranya 100,000. Begitulah angkuh dan sombongnya Roderic melihat jumlah tentera kaum Muslimin yang hanya berjumlah 12,000 orang sahaja. Dia juga yakin boleh menang kerana kaum Muslimin berada di wilayahnya dan tidak sempat untuk melarikan diri melalui jalan laut. Cita-citanya mahu menjadikan kaum Muslimin sebagai hamba yang diikat kaki dan tangannya.


Roderic dengan lagak sombongnya menganggap para tentera kaum Muslimin akan merayu meminta belas kasihan apabila melihat tenteranya yang ramai dan lengkap bersenjata. Secara logika akal dengan melihat jumlah tenteranya yang melaut itu pastilah tentera kaum Muslimin akan gerun dan takut. Namun bukanlah begitu hakikat tentera kaum Muslimin. Mereka telah dilatih dan tahu tujuan memasuki Andalusia. Jihad dan syahid adalah cita-cita mereka.


Pada 28 Ramadan tahun 92 Hijrah atau 19 Julai 711 Masihi berlakulah pertempuran di Lembah Barbate yang tercatat dalam sejarah dunia. Peristiwa ini akan diingati sampai bila-bila hingga generasi demi generasi. Kaum Muslimin mengadaikan nyawa mereka demi menyebarkan Islam ke Eropah. Tujuannya hanyalah untuk mengajak manusia mengenal Pencipta dan mengabdikan diri hanya pada-Nya.


Musuh sudah siap siaga untuk bertempur dengan tentera kaum Muslimin. Pasukan tentera kaum Muslimin berjumlah 12,000 akan bertempur dengan tentera Roderic yang berjumlah 100,000. Kisah ini mengingatkan kaum Muslimin tentang peperangan Badar yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w dengan tentera berjumlah 313 orang melawan musuh yang berjumlah 1000 orang. 


Kekuatan tentera kaum Muslimin bukan hanya pada semangat dan persenjataan tetapi keimanan kepada Allah serta yakin dengan janji-Nya. Mereka pastinya ingat akan firman Allah,

كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِين

Maksudnya : Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2: 249)


Keyakinan tentera kaum Muslimin untuk menang dalam pertempuran ini di dorong keimanan yang tinggi kerana beberapa faktor.

1. Jika tentera kaum Muslimin menang maka seruan dakwah akan meluas di Andalusia sebaliknya jika terbunuh mereka akan meraih syurga kerana syahid di medan pertempuran. Hakikatnya semua manusia akan mati cuma kelebihannya mereka mendapat peluang untuk mati syahid.

2. Jika tentera kaum Muslimin menang semua harta tentera musuh yang banyak itu akan menjadi milik tentera kaum Muslimin yang akan dibahagi-bahagikan. Sedangkan jika musuh yang menang harta tetap akan menjadi milik penguasa iaitu Roderic seorang sahaja.

3. Tentera kaum Muslimin telah bersedia untuk mati syahid tetapi mereka tetap berjuang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan nyawa. Namun tentera musuh berharap mereka akan terus hidup dan kembali kepada keluarga dan anak-anak mereka untuk meneruskan kehidupan.

4. Tentera kaum Muslimin mempunyai ketua perang yang hebat serta taat kepada Allah iaitu Tariq bin Ziyad. Dia seorang yang alim, berani, berkeperibadian mulia serta patuh kepada al-Quran. Sedangkan musuh adalah dari golongan Nasrani yang bongkak, sombong, menindas rakyat serta pelbagai peribadi buruk. Berperang dengan musuh seperti ini suatu yang berbaloi.

5. Pertempuran ini berlaku di penghujung bulan Ramadan. Tentera kaum Muslimin yakin dengan pertolongan Allah pada bulan mulia ini iaitu sama seperti berlakunya peperangan Badar pada bulan Ramadan juga.


Pada 28hb. Ramadan tahun 92 Hijrah, peperangan bermula. Roderic yang angkuh dan sombong yakin pasukan tenteranya boleh menang dengan mudah berdasarkan jumlah tentera dan persenjataannya. 


Manakala Tariq bin Ziyad dan pasukan tentera jihadnya yakin kemuliaan Ramadan, doa di akhir Ramadan dan bulan al-Quran sebagai pendorong utama untuk menang dalam pertempuran yang tidak seimbang ini.

Peperangan berlanjutan selama lapan hari. Tiada erti sambutan Idil Fitri bagi para pejuang di jalan Allah ini. Malah mereka bertambah yakin bulan Syawal yang dikenali sebagai bulan kemenangan seolah-olah menggamit kejayaan mereka. Inilah istimewanya tentera kaum Muslimin yang yakin dengan Allah.


Pasukan tentera musuh seperti gelombang yang besar, bertalu-talu menyerang tentera kaum Muslimin bagai ombak yang tidak mahu berhenti menghempas ke pantai. Para tentera kaum Muslimin tetap tidak berganjak, mereka terus bertahan dan menyerang kembali. Jika boleh dibayangkan bagaimana penatnya tentera kaum Muslimin yang tidak sempat untuk berehat menghadapi serangan musuh. Sedangkan musuh sempat berehat untuk mengumpul stamina bagi menyerang mereka. 


Serangan pedang-pedang dari kedua pasukan bertambah sengit, pasukan berkuda musuh menyerang dalam kumpulan yang besar tetapi terus menerima tentangan yang hebat dari tentera kaum Muslimin yang berjalan kaki. I


bnu Adzari dalam bukunya Al-Bayan Al-Maghrib Fi Akhbar Al-Andalus Wa Al-Maghrib mencatatkan,

Tariq bin Ziyad keluar dengan menghadap mereka semua (musuh) dengan berjalan kaki tanpa menunggang kuda kecuali sedikit sahaja. Mereka bertempur dengan hebatnya sehingga mereka menganggap inilah pertempuran yang terakhir dari segalanya.”

Dalam pertempuran ini tentera kaum Muslimin berjaya meraih kemenagan yang luar biasa. Tentera musuh ketakutan dan bercerai berai meninggalkan pasukan mereka. Terdapat perbezaan pandangan ahli sirah tentang Roderic, ada yang mengatakan dia terbunuh dalam pertempuran ini dan ada pendapat menyatakan dia melarikan diri sehingga tidak dijumpai serta dicatatkan lagi tentang dirinya.


Jumlah tentera kaum Muslimin yang syahid di medan pertempuran ini sekitar 3000 orang manakala jumlah korban tentera musuh terlalu banyak. Inilah yang dikatakan pertolongan Allah kepada para pejuang di jalan-Nya. Sehingga kini terdapat para penulis Barat tidak mempercayai bahawa jumlah tentera Tariq bin Ziyad hanya 12,000 orang. Ini kerana mereka hanya percaya perkiraan dunia sahaja dan tidak percaya kepada Allah yang memberikan kemenangan.


Tariq bin Ziyad meneruskan perjalanan memasuki seluruh Andalusia bagi memastikan musuh tidak menyerang kembali. Malah Tariq bin Ziyad juga berhati-hati sekiranya Julian belot setelah mengetahui Roderic telah kecundang.


Terdapat kisah masyhur tentang Tariq bin Ziyad membakar kapal-kapal tenteranya.  Kononnya ianya dilakukan bagi memberi semangat kepada para tenteranya untuk berjihad melawan musuh dan tiada jalan untuk menyeberang keluar dari Andalusia. Maka kematian sahaja yang menanti mereka sama ada di hadapan atau di belakang mereka. Oleh itu tentera kaum Muslimin perlu berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Riwayat kisah ini terdapat dalam penulisan oleh ahli sirah dari Eropah tetapi tidak dalam penulisan ahli sirah Muslim yang boleh dijadikan sandaran. Kisah ini jika dikatakan benar dilakukan oleh Tariq bin Ziyad tentulah ada riwayat dialog antaranya dengan Musa bin Nushair atau khalifah Al-Walid bin Abdul Malik. Namun tiada riwayat yang sahih dijumpai kisah ini yang boleh dianggap sebagai benar.


Para penulis Nasrani merekayasa kisah ini untuk mencari alasan bahawa kemenangan tentera kaum Muslimin yang berjumlah 12,000 orang menentang 100,000 orang tentera Roderic terpaksa bertarung sehingga mati kerana sudah tiada pilihan. Hakikatnya tentera kaum Muslimin berperang bukan kerana takut kepada kematian tetapi kerana jihad dan mencintai syahid.


Ahli sirah Eropah sebenarnya berhasrat meremehkan semangat jihad tentera kaum Muslimin dan ingin  menyanggah bahawa kemenangan ini hasil pertolongan dari Allah. Malah tiada mana-mana pemimpin perang yang melakukan tindakan yang tidak bijak ini sebagai satu misi atau strategi dalam peperangan.


Selain itu Tariq bin Ziyad dikenali seorang yang taat dan patuh kepada Musa bin Nushair, dia tidak sesekali akan menyanggah arahan atau melangkauinya dalam membuat tindakan. Tindakan membakar kapal-kapal yang dibina atas arahan Musa bin Nushair perlu mendapat keizinan darinya terlebih dahulu. 


Sejarah peperangan tentera kaum Muslimin sebelum ini terdapat juga taktik perang untuk berundur sebentar sebelum kembali menyerang. Maka tiada alasan untuk Tariq bin Ziyad meletakkan para tenteranya dalam kedudukan bahaya dengan membakar kapal-kapal sekiranya mereka terpaksa berundur untuk mengumpul kekuatan.


Walaupun kisah ini masyhur namun ianya bukanlah suatu yang konkrit. Dengan membaca, meneliti dan menganalisis sahaja dapat mengesahkan kesahihannya. Penulisan sejarah sebenarnya bukanlah mudah, ianya memerlukan penelitian dan tapisan. Banyak sejarah Islam yang ditulis oleh golongan orientalis yang dimuatkan dalam pelbagai bentuk. Umat Islam yang kurang membaca dan menyemak akan terperdaya dengan informasi yang salah.


Kemenangan pasukan tentera Tariq bin Ziyad dalam pertempuran dengan pasukan tentera Roderic telah tersebar. Para tentera kaum Muslimin yang berada di Afrika Utara iaitu Maghribi terus bergerak memasuki Andalusia untuk bergabung dengan tentera Tariq bin Ziyad.


Kedatangan tentera ini sangat ramai memberi inspirasi kepada Tariq bin Ziyad untuk meneruskan perjalanannya sehingga ke utara Andalusia. Inilah peluang yang tidak boleh dilepaskannya kerana pada waktu itu tentera Roderic sudah berpecah dan melarikan diri. Kini wilayah Andalusia sudah tiada pemimpin yang memerintah.


Semangat tentera kaum Muslimin yang berada di Andalusia semakin kuat apabila melihat jumlah mereka semakin ramai apabila kaum Muslimin dari Maghribi telah tiba. Mereka yakin bahawa masa untuk menguasai Andalusia sudah tiba dengan datangnya pertolongan Allah. Benarlah bulan Syawal itu bulan kemenangan yang diraikan oleh mereka.


Sementara itu Tari bin Ziyad segera bergerak menuju ke Toledo iaitu ibu negara Andalusia. Para penyokong Roderic dan Witiza mantan penguasa Andalusia berkonflik dalam menentukan pengganti kepada Roderic yang tidak diketahui sama ada telah mati atau melarikan diri.


Perjalanan pasukan Tariq bin Ziyad menuju ke Toledo tidak menghadapi ancaman dan halangan. Pintu-pintu kota dibuka oleh penduduk tanpa adanya pertempuran dan akhirnya Toledo dikuasai dengan mudah. Seterusnya beberapa kota lain turut dikuasai olehnya iaitu Castille, Leon dan Astariqah. Tariq bin Ziyad menyeberangi Pergunungan Osteorias hingga Teluk Ghasqunah atau Bascunia di tepi Laut Atlantik serta menguasai sepenuhnya.


Kemampuan dan keberanian Tariq bin Ziyad sangat luar biasa kerana pasukan tenteranya bukanlah dalam jumlah yang  ramai pada ketika itu. Ini kerana pasukan tentera yang ramai itu telah ditinggalkan di kota-kota yang berjaya dikuasai semasa perjalanan ke Toledo. Secara umumnya Andalusia telah dikuasai dan seruan dakwah akan bergema di Andalusia.


Keghairahan Tariq bin Ziyad meneruskan perjalanan memasuki Andalusia dengan cara tergesa-gesa mengundang rasa tidak senang Musa bin Nushair. Dia khuatir pasukan Tariq bin Ziyad akan dikepung dan diserang dari belakang oleh pasukan tentera Nasrani. Manakala ketika itu jumlah tentera pasukan Tariq bin Ziyad tidak ramai jumlahnya. 


Musa bin Nushair telah mengirim surat yang agar keras arahannya supaya Tariq bin Ziyad berhenti dari meneruskan perjalanan memasuki kawasan Andalusia. Arahan ini dipatuhi oleh Tariq bin Ziyad kerana dia tahu bahawa arahan dan pengalaman Musa bin Nushair melebihi pengalamannya. Musa bin Nushair berjaya menguasai Afrika Utara dan mendidik penduduk Barbar sehingga mereka menjadi seorang Muslim yang luar biasa hebatnya. Malah Tariq bin Ziyad adalah anak didik Musa bin Nusyair.


Ada pandangan yang tidak tepat yang mengatakan Musa bin Nushair  kurang senang dengan Tariq bin Ziyad kerana kehebatannya. Maka sifat iri hati  dan cemburu telah menguasai dirinya. Pandangan ini tidak benar sama sekali dan adalah satu rekayasa. Ini kerana Musa bin Nusyair telah menyediakan satu pasukan tentera yang berjumlah 18,000 untuk turut serta bersamanya memasuki Andalusia bagi mengukuhkan penguasaan. Jelasnya kerisauan Musa bin Nusyair adalah keselamatan pasukan tentera Tariq bin Ziyad yang sudah memasuki hingga ke kawasan pendalaman Andalusia bukan kerana cemburu atau iri hati.


Jumlah tentera bantuan berjumlah 18,000 orang yang mengikuti Musa bin Nusyair adalah terdiri dari bangsa Arab yang datangnya dari Yaman, Syam atau Syria dan Iraq. Bayangkan tentera ini datang berbondong-bondong dalam perjalanan yang jauh apabila mengetahui semboyan jihad telah dilaungkan. Pasukan tentera ini memasuki kota-kota yang masih belum aman sepenuhnya dan menguasainya. Musa bin Nusyair dan pasukan tenteranya menempuh laluan ke utara dan tidak menggangu kota-kota yang telah dikuasai oleh Tariq bin Ziyad.


Antara kota yang berjaya dikuasai oleh Musa bin Nusyair ialah Syadzunah, Cormuna dan Sevilla. Kota Sevilla berjaya dikuasai setelah dikepung selama beberapa bulan oleh tenteranya. Akhirnya pintu kota dibuka dan tentera Musa bin Nusyair memasukinya secara aman


Tariq bin Ziyad yang berada di Toledo menanti kedatangan Musa bin Nushair yang dalam perjalanan untuk menemuinya. Dalam perjalanan ini pasukan Musa bin Nushair memasuki kota-kota sepanjang laluan ini dan menguasainya. Namun terdapat sebuah kota yang kuat dikuasai oleh golongan Nasrani. Mereka tidak mahu menyerah kalah dan menutup pintu kota ini. Kota ini dikenali dengan kota Maridah. 


Pasukan Musa bin Nushair telah mengepung kota ini untuk beberapa bulan. Pada penghujung bulan Ramadan akhirnya mereka membuka pintu kota dan membuat persetujuan untuk berdamai dan membayar jizyah. Pada bulan Syawal satu lagi kemenangan dikecapi oleh kaum Muslimin setelah kemenangan setahun yang lalu memenangi pertempuran dan menguasai Andalusia juga berlaku pada bulan Syawal. 


Andalusia adalah sebuah wilayah yang luas, kaum Muslimin tidak berhenti untuk terus memasuki kawasan pendalaman bagi seruan dakwah. Musa bin Nushair telah melantik puteranya Abdul Aziz bin Musa yang mempunyai semangat jihad sepertinya untuk memasuki wilayah yang jauh ke barat Andalusia. Abdul Aziz bin Musa telah berjaya sampai ke Lisbon dan menguasainya. Lisbon kini berada dalam negara Portugal.


Para ahli sirah ada yang mencatatkan bahawa Abdul Aziz bin Musa adalah orang yang berjaya membawa sinar Islam ke Portugal. Malah ada pendapat mengatakan dialah pemimpin yang menguasai Portugal. Musa bin Nushair seorang yang hebat kerana berjaya mendidik puteranya  menjadi seorang pemimpin, pendakwah dan pahlawan yang berjuang pada jalan Allah.


Setelah setahun Musa bin Nushair memasuki Andalusia akhirnya dia tiba di Toledo pada tahun 94 Hijrah. Dia bertemu dengan Tariq bin Ziyad, sudah dua tahun mereka tidak bertemu. Musa bin Nushair dengan tegas menegur tindakan Tariq bin Ziyad yang melanggar arahannya supaya berhenti di Cordova dan tidak meneruskan penguasaan ke Taledo. Tindakan Tariq bin Ziyad melanggar arahan wajar mendapat teguran dari Musa bin Nushair kerana faktor keselamatan para tentera kaum Muslimin menjadi keutamaan.


Namun teguran keras Musa bin Nushair diterima dengan terbuka oleh Tariq bin Ziyad. Manakala Tariq bin Ziyad pula bukanlah orang yang menginginkan pengaruh dan kekuasaan. Sebaliknya dia amat teruja dengan semangat jihad dan dakwah itulah cita-citanya semenjak dahulu lagi. Semangat Tariq bin Ziyad sememangnya disedari oleh Musa bin Nushair namun sebagai seorang pemimpin menjadi tanggungjawabnya menegur keghairahan anak didiknya ini. Jika arahan diabaikan banyak kemungkinan boleh berlaku walaupun mempunyai niat yang baik.


Setelah kedua pahlawan hebat ini bertemu mereka terus melaksana misi ke utara Andalusia. Banyak kota yang berjaya dikuasai antaranya ialah kota Barcelona. Kota ini telah sampai sinar dan syariat Islam telah dilaksanakan semasa pengusaan Islam. Malangnya umat Islam kini hanya mengenali Barcelona dengan kelab bola sepak dunia sahaja. Sejarah gemilang Islam telah dilupakan.

Kemudian kota lain yang berjaya dikuasai ialah Zaragosa iaitu kota yang terbesar di bahagian timur laut. Musa bin Nushair kemudiannya menyediakan satu pasukan kecil tenteranya menuju ke Pergunungan Pirenia, pasukan ini menguasai kota Arbunah yang terletak di tepi Laut Putih. Kota yang terbesar ini menerima sinar Islam hasil dakwah Musa bin Nushair.


Perjalanan pasukan tentera ini juga telah berjaya menguasai kota demi kota sehingga barat daya Perancis. Akhirnya semua kota di Andalusia dikuasai kecuali satu kota yang terletak di barat laut kota Shakhrah. Kota ini kedudukannya berada di Selat Biscae bertemu di Laut Atlantik.

Tariq bin Ziyad pernah berkata kepada Musa bin Nushair ketika menang dalam peperangan pertama pada tahun 92 Hijrah seperti yang dicatat oleh Al-Muqri dalam bukunya Naft Ath-Thib,

“ Wahai Gabenor! Demi Allah! Aku tidak akan menghentikan tujuanku ini selama aku belum sampai ke Laut Atlantik, aku akan menyeberanginya dengan kudaku.”


Cita-cita Tariq bin Ziyad ini akhirnya tercapai apabila seluruh Andalusia berjaya dikuasai pada penghujung tahun 95 Hijrah. Bayangkan seluruh Andalusia yang luas ini berjaya dikuasai dalam tempoh yang singkat bermula tahun 92 Hijrah hingga tahun 95 Hijrah. Gabungan tentera Arab dan Barbar dengan semangat jihad demi Islam di bawah kepimpinan tiga orang pahlawan iaitu Musa bin Nusyair, Tariq bin Ziyad dan putera Musa bin Nusyair iaitu Abdul Aziz telah mencatat sejarah gemilang perkembangan Islam di Andalusia.


Ketika Musa bin Nusyair dan Tariq bin Ziyad giat memasuki kota-kota demi dakwah Islam, tiba-tiba datanglah sepucuk surat yang diutuskan khas kepadanya. Surat ini telah menyebabkan Musa bin Nusair sangat sedih. Apakah isi kandungan surat ini?


Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik memanggil Musa bin Nusyair dan Tariq bin Ziyad kembali ke Damsyik atas beberapa faktor antaranya;


1. Khalifah khuatir keselamatan kedua-dua panglima ini beserta pasukan tentera mereka yang sudah masuk jauh ke pendalaman Andalusia  dalam waktu yang singkat. Kerisauan khalifah adalah kemungkinan pasukan mereka akan diserang kembali oleh tentera Nasrani. 


2. Jumlah tentera yang berada di Andalusia masih kecil jika dibandingkan dengan tentera musuh yang berjumlah 100,000 orang sebelum ini. Ketika kedua panglima ini menguasai kota-kota sepanjang perjalanan, mereka perlu meletakkan sekumpulan tentera di kota-kota tersebut. Jadi semakin jauh Musa bin Nusyair bergerak ke pendalaman semakin kecil bilangan tentera yang bersamanya. Khalifah khuatir akan keselamatan para tentera kaum Muslimin ini.


3. Selain itu khalifah mendapat khabar hasrat Musa bin Nusyair yang mahu meneruskan penguasaan semua wilayah di Eropah iaitu Itali, Yogoslavia, Rumania, Bulgaria, Turki hingga memasuki Konstantinople dari arah Barat. Sedangkan untuk menguasai Konstantinople bukanlah satu misi yang mudah. Sekiranya Musa bin Nusyair tidak dipanggil pulang ke Damsyik, pastinya misi ini akan diteruskan olehnya sedangkan pasukan tentera semakin berkurangan. Manakala pasukan bantuan pula sangat jauh untuk bergabung dengan pasukan Musa bin Nusyair. Penduduk Andalusia pula belum benar-benar memahami Islam lagi ketika itu.


4. Keutamaan khalifah adalah memastikan tentera kaum Muslimin selamat dari bahaya. Tujuan untuk menyampaikan Islam wajar dibuat dengan sabar dan tidak tergesa-gesa dengan memasuki wilayah lain. Pertimbangan ini sememangnya wajar diambil perhatian oleh khalifah.


Setelah kembali ke Damsyik, Musa bin Nusyair mendapati khalifah Al-Walid bin Abdul Malik sedang tenat. Tidak lama kemudian khalifah Al-Walid bin Abdul Malik mangkat. Pengganti khalifah adalah Sulaiman bin Abdul Malik mempunyai pandangan yang sama dengan saudaranya iaitu panglima Islam ini hendaklah tinggal di Damsyik.


Setelah setahun kembali ke Damsyik iaitu pada tahun 97 Hijrah, khalifah Sulaiman bin Abdul Malik mahu menunaikan ibdat haji ke Makkah. Khalifah telah meminta Musa bin Nusyair untuk turut serta dalam rombongan ini. Musa bin Nusyair telah hidup di Afrika Utara dan Andalusia selama 10 tahun dan inilah masanya khalifah mengajaknya untuk turut serta menunaikan ibadah Haji.


Musa bin Nusyair seorang yang taat kepada khalifah, dia mengikuti pelawaan ini tanpa apa-apa bantahan. Seperti yang diketahui  Musa bin Nusyair seorang yang sangat bergantung harap kepada Allah, dia telah berdoa kepada Allah ketika dalam perjalanan ke Makkah,

“Ya Allah! Jika Engkau berkehendak kehidupan untuk ku maka kembalikanlah aku ke bumi jihad dan matikanlah aku sebagai syahid. Jika Engkau menghendaki yang lain, maka matikanlah aku di Kota Rasulullah.”


Musa bin Nusyair yang sudah berusia 76 tahun masih mengharap agar dia mati syahid di medan jihad. Semangat seorang lelaki tua yang hebat. Malah jika Allah tidak menghantarnya ke medan jihad lagi dia amat berharap akan mati di Madinah ketika ziarah setelah menunaikan ibadah Haji.

Setelah selesai menunaikan Haji dan dalam perjalanan menuju ke Madinah, doa Musa bin Nusyair telah dimakbulkan Allah. Dia wafat dan seterusnya dikebumikan di tanah perkuburan para Sahabat. Begitulah doa orang yang soleh ini akhirnya dimakbulkan oleh Allah. Seluruh hidupnya hanya memikirkan perjuangan dakwah untuk menyebarkan kalimah tauhid. Perjuangannya sampai ke penghujung kehidupan.


Kecintaannya kepada Allah sangat luar biasa. Dia bermusafir ke bumi yang asing demi Islam. Mendidik kembali golongan Barbar yang murtad sehingga mereka menjadi tentera Muslim yang sanggup berjihad. Membentuk tokoh panglima yang hebat iaitu Tariq bin Ziyad yang bukannya berketurunan Arab sehingga berjaya menguasai Andalusia.


Sejarah hidupnya pasti bukan sahaja dikenang oleh generasi demi generasi bahkan mendapat perhatian penghuni langit. Seorang manusia biasa yang tiada cita-cita untuk memiliki kuasa dan kedudukan. Dakwah dan sebaran kalimah tauhid sahaja yang menjadi cita-citanya agar manusia kenal Pencipta dan mengabdikan diri pada-Nya.


Comments

Popular posts from this blog

Misi Bani Umayyah ke Perancis