Misi Bani Umayyah ke Perancis
Misi Bani Umayyah ke Perancis
As-Samh bin Malik Al-Khaulany yang telah dilantik menjadi gabenor. Dia adalah seorang panglima yang hebat dan berani. Tugas utamanya sebagai gabenor adalah menyebarkan Islam ke Perancis. Lalu dia telah memimpin satu pasukan tentera Muslim pada awal abad ke 8 sehingga berjaya menguasai Narbonne, Béziers, Agde, Lodève, Maguelonne (Montpellier) dan Nîmes.
Seterusnya dia kembali ke Sepanyol untuk mengumpulkan lebih banyak pasukan untuk misi serangan ke kota yang dikuasai oleh Nasrani iaitu Toulouse ibu kota Octavia yang memiliki pertahanan kuat. Kota ini sukar untuk dikuasai kerana mempunyai persenjataan dan kekuatan tentera yang ramai. Pertempuran hebat telah berlangsung di Toulouse, pasukan tentera Muslim hampir menang. Namun Raja Octavia telah mendapatkan bantuan dari Eropah dan terjadilah pertempuran yang lebih hebat.
As-Samh bin Malik Al-Khaulany sebagai ketua panglima bergerak dengan pantas di bahagian hadapan untuk menghadapi musuh. Dia berjuang seperti singa yang lapar tanpa henti. Ketika asyik dengan pertempuran itu tiba-tiba anak panah musuh telah hinggap di tubuhnya. Dia jatuh dan gugur syahid pada tahun 102 Hijrah atau 721 Masihi.
Keadaan tentera pasukan Muslim menjadi kelam kabut apabila As-Samh bin Malik Al-Khaulany gugur syahid. Pasukan tentera Muslim terpaksa berundur seketika bagi mengelakkan mereka tewas dalam peperangan ini. Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengarahkan Abdul Rahman bin Abdullah Al-Ghafiqi untuk memimpin pasukan tentera ini.
Abdul Rahman bin Abdullah Al-Ghafiqi adalah seorang tabi’in telah berjaya menyatukan kembali para tentera Muslim yang telah berkecamuk. Dia adalah seorang yang berani, alim, bijaksana, mahir dalam peperangan dan mempunyai cita-cita untuk menyebarkan Islam mewarisi apa yang telah ditinggalkan oleh Musa bin Nusyair.
Abdul Rahman bin Abdullah Al-Ghafiqi berjaya menstabilkan semula keadaan kaum Muslimin selepas pertempuran yang hebat. Tetapi tempoh dia berkhidmat hanyalah sekitar dua bulan sahaja. Gabenor Afrika iaitu Yazid bin Abi Muslim telah melantik Anbasah bin Suhaim pada bulan Safar tahun 103 Hijrah menggantikannya.
Beliau adalah seorang yang wara’, pentadbir yang bijak dan pahlawan yang berjihad sehingga berjaya menguasai hampir 70% wilayah Perancis. Maksudnya 70% wilayah Perancis sudah menganut Islam semasa dia menjadi gabenor Andalusia. Tempoh dia berkuasa bermula tahun 103-107 Hijrah atau 721-725 Masihi.
Kebanyakan kota-kota yang dikuasai olehnya tidak melalui peperangan tetapi hasil perjanjian damai. Inilah antara kehebatan kepimpinan, perundingan dan pentadbirannya. Hasil dari kebijakkannya maka hasil cukai (kharaj) meningkat berkali ganda apabila tawaran perdamaian tanpa peperangan diterima dari kota-kota yang dikuasainya. Tiada paksaan kepada penduduk untuk menganut Islam hanya dakwah sahaja yang dipergiatkan.
Antara kota yang berjaya dikuasai tanpa peperangan adalah Carcassona yang telah dikepung beberapa lama. Sepanjang menjadi gabenor Anbasah bin Suhaim terlibat dalam peperangan dan mengalami beberapa luka di badannya. Pada bulan Syaban tahun 107 Hijrah, ketika kembali semula ke Andalusia dia telah meninggal dunia.
Selepas kewafatan Anbasah bin Suhaim, Andalusia telah dipimpin oleh enam orang gabenor yang silih berganti dalam tempoh lima tahun. Keadaan Andalusia semakin tidak aman apabila isu ras dan keturunan menjadi mainan. Gabenor berketurunan Arab tidak menyenangi kaum Barbar. Kesan dari isu ini terjadilah permusuhan dan pertempuran sesama kaum Muslimin atas rasa tidak puas hati.
Situasi ini telah mengundang masalah berpanjangan dan melemahkan pentadbiran wilayah Andalusia. Akhirnya tokoh yang berjaya menyelesaikan masalah ini adalah Abdul Rahman bin Abdullah Al-Ghafiqi. Siapakan tokoh hebat ini?
ABDUL RAHMAN AL-GHAFIQI
Nama lengkapnya adalah Abdul Rahman bin Abdullah bin Bisyr bin As-Sharim Al-Ghafiqi Al-Akky. Beliau juga dikenali dengan Abu Said. Berasal dari kabilah Al-Ghafiqi berketurunan Yaman dan merupakan seorang tabi’in. Seorang pahlawan perang yang hebat dan mempunyai peribadi yang mulia.
Dia pernah dilantik sebagai pemimpin oleh penduduk Andalusia pada tahun 102 Hijrah setelah kesyahidan gabenor As-Samh bin Malik. Tempoh dia memimpin ketika itu hanyalah sekitar dua bulan kemudiannya Anbasah bin Suhaim dilantik menjadi pemimpin oleh Yazid bin Abi Muslim gabenor Afrika.
Kepakaran Abdul Rahman Al-Ghafiqi adalah dalam bidang ketenteraan. Ketika Anbasah bin Suhaim meninggal dunia keadaan penduduk Andalusia tidak stabil sehinggakan sesama Muslim bermusuh akibat dari sentimen ras dan keturunan Arab dan Barbar. Abdul Rahman Al-Ghafiqi dilantik menjadi gabenor pada tahun 112 Hijrah dan berjaya menyatukan mereka kembali atas nama Islam.
Hasil didikan para Sahabat telah membentuk peribadinya yang mulia serta disenangi oleh penduduk Andalusia. Selain itu dia seorang yang wara’, sabar, tidak mengharap pujian manusia dan sering berinteraksi dengan rakyatnya. Dia mempunyai cita-cita untuk menjadi seperti tokoh panglima yang hebat iaitu seperti zaman Musa bin Nusyair hinggalah As-Samh bin Malik yang berusaha untuk menguasai Perancis.
Justeru itu dia berusaha dengan menyatukan kembali umat Islam yang berpecah dan lemah akibat kekalahan ketika peperangan Toulosse. Dia membakar kembali semangat tenteranya untuk berjuang sehingga mati syahid. Seruannya berjaya menambat kembali jiwa para tenteranya sehingga sampailah masa untuk meneruskan penguasaan kembali ke kota-kota di Perancis.
Misinya berjaya dengan mengusaia beberapa kota iaitu Aril, Budu, Tolossa, Tor dan Bawateih. Menurut catatan ahli sirah penguasaan ketika itu sudah memasuki bahagian utara Perancis. Apabila tiba di Kota Bilath (istana), pasukannya telah berhenti untuk mengatur strategi bagi menghadapi tentera Nasrani. Jumlah tentera kaum Muslimin yang bersama ketika itu adalah berjumlah 50,000 orang.
Namun peperangan ini mencatat sejarah hitam dalam sejarah peperangan umat Islam Andalusia. Apakah yang terjadi?
PEPERANGAN BILATH AS-SYUHADA
Peperangan Bilath As-Syuhada juga dikenali dengan Peperangan Tours atau Peperangan Poitiers. Ianya peperangan besar antara tentera Muslim yang dipimpin oleh Abdul Rahman Al-Ghafiqi dan tentera Perancis yang dipimpin oleh Charles Martel yang berlaku ada tahun 114 Hijrah atau 732 Masihi.
Abdul Rahman Al-Ghafiqi berusaha meluaskan dakwah Islam ke Perancis dan berjaya menguasai banyak kota. Namun ketika sampai di kota Bilath pasukan tenteranya telah berhenti rehat dan tinggal di kota ini sebelum meneruskan penguasaan ke kota lain. Kemaraan tentera Muslim telah sampai ke pengetahuan Charles Martel yang merancang untuk menyekat dan mengalahkan mereka.
Sebelum meneruskan perkongsian kisah peperangan ini, penulis berhasrat memberikan sedikit penjelasan. Informasi tentang peperangan ini sangat kurang dicatat oleh para pengkaji awal sirah dari kalangan Muslim. Tiada diketahui dengan jelas apakah faktor catatan peperangan ini tidak terperinci. Ahli sirah kemudian membuat beberapa andaian antaranya,
1. Catatan telah dimusnahkan atau tidak dijumpai.
2. Catatan ini tidak ditulis dengan terperinci kerana ianya kekalahan teruk tentera Muslim.
3. Para periwayat kisah kekalahan perang ini tidak mahu menjelaskan lebih lanjut kepada generasi selepasnya kerana mahu fokus kepada kebangkitan dan bukan mengenang kisah kekalahan ini.
Justeru itu banyak riwayat kisah ini datangnya dari penulis Eropah. Malah penulis Eropah pula mempunyai catatan yang kontradik antara satu sama lain terutamanya yang berkaitan jumlah kematian tentera Muslim dalam peperangan ini, sikap dan faktor buruk para tentera Muslim kononnya menjadi punca kekalahan perang ini.
Maka penulis sekadar mengingatkan, apabila membaca penulisan dari golongan Eropah tentang sirah Islam maka keutamaan untuk menapisnya adalah sangat perlu. Namun hakikat kekalahan dan kelemahan tentera Muslim dalam peperangan ini tidaklah dinafikan oleh para penulis sirah dari kalangan Muslim.
Jika para pembaca membaca dari versi yang berbeza dengan apa yang akan penulis kongsikan hasil pembacaan penulis maka harapnya boleh berlapang dada dan tidak terperanjat. Penulisan sirah bukanlah seperti menulis hukum hakam agama yang wajib diterima secara total. Pembacaan penulisan ahli sirah Barat tetap dirujuk namun penulis turut melihat kontradik informasi antara mereka.
Pada bulan Ramadan tahun 114 Hijrah atau tahun 732 Masihi berlaku peperangan Bilath As-Syuhada bertempat sekitar Kota Tours dan Poitiers, Perancis. Jumlah tentera Islam dicatatkan sekitar 50,000, lebih ramai dari dari jumlah ini dan ada juga catatan mengatakan mencapai 80,000 orang. Manakala jumlah tentera Charles Martel ada yang mencatatkan sekali ganda lebih dari tentera Islam dan ada yang mencatatkan lebih dari itu sehingga mencapai 400,000 orang. Hakikat sebenarnya tidak dapat diketahui dengan tepat.
Peperangan ini berlaku setelah 20 tahun Islam memasuki Andalusia hasil strategi Musa bin Nusyair yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad. Hasrat untuk menguasai Eropah telah lama menjadi idaman kedua pahlawan Islam ini namun mereka tidak sempat menjayakannya kerana dipanggil kembali ke Damsyik oleh khalifah Al-Walid bin Abdul Malik.
Abdul Rahman Al-Ghifaqi memikul tugas berat sebelum membawa pasukan tenteranya untuk memasuki wilayah yang lebih jauh ke Perancis. Enam orang gabenor sebelumnya telah memerintah dengan tidak adil terhadap penduduk dan kaum Musliminn. Gereja telah dirobohkn, penindasan terhadap penduduk serta tentera kaum Muslimin pula bermusuh isu ras dan keturunan. Mereka bertelingkah dalam pembahagian harta rampasan perang. Setelah berusaha menyatukan kembali tentera kaum Muslimin dan memperbaiki sosio politik di Andalusia baharu Abdul Rahman Al-Ghifaqi meneruskan misinya.
Pada peringkat awal semua misi Abdul rahman Al-Ghifaqi mencapai kejayaan namun ketika hendak memasuki kota Tours dan Poitiers di sinilah tentera Perancis yang dipimpin oleh Charles Martel memberikan tentangan hebat. Charles Martel adalah pemimpin Perancis yang secara rasminya seorang pemerintah yang sah namun tidak menonjol sehinggalah berlakunya peperangan Bilath As-Syuhada.
Sebelum berlakunya peperangan ini, Abdul Rahman Al-Ghifaqi telah berjaya menguasai wilayah Acquitaine yang dipimpin oleh Eudo. Walaupun pasukan tentera Eudo cuba bertahan dalam pertempuran dengan tentera Abdul Rahman Al-Ghifaqi namun mereka tewas teruk dan ramai tentera Eudo mati. Al-Ghifaqi telah mengejar Eudo sehingga ke kota Burdal, Bordeaux tetapi Eudo berjaya meloloskan dirinya.
Eudo pada awalnya bermusuh dengan Charles Martel tetapi setelah Eudo hilang kuasa di wilayah Acquitaine dan melihat tentera Abdul Rahman Al-Ghifaqi sedang mara ke wilayah kekuasaan Charles Martel, lalu dia telah membuat tawaran untuk bekerjasama dengan Charles Martel. Dia turut memberikan jaminan untuk setia kepada Charles Martel. Bagi menghalang kemaraan tentera Abdul Rahman Al-Ghifaqi maka Charles Martel membuat persiapan yang besar dan lengkap dengan persenjataan. Semangat tentera Perancis dikobarkan agar mempertahankan negara dari serangan ini.
Abdul Rahman Al-Ghifaqi membawa pasukan tenteranya yang paling kuat dan hebat ketika memasuki wilayah Perancis. Banyak kota yang telah berjaya mereka kuasai termasuklah harta rampasan perang. Harta rampasan yang banyak ini menjadi musibah kekalahan tentera Muslimin menurut ramai ahli sirah.
Ketika peperangan Bilath Asy-Syuhada meletus jumlah tentera Muslimin sudah berkurangan dari jumlah asal kerana ditinggalkan di kota-kota yang telah dikuasai dalam misi ini. Harta rampasan yang diperoleh turut dibawa dalam peperangan dan ianya telah menjadi idaman para tentera Muslimin. Dr. Raghib As-Sirjani dalam bukunya Bangkit dan Runtuhnya Andalusia tidak menolak antara punca kekalahan tentera Muslimin dalam peperangan ini adalah kerana terperdaya dengan jumlah harta rampasan perang yang dibawa oleh mereka.
Kedua pasukan ini akhirnya bertemu untuk melancarkan peperangan. Pada peringkat awal kedua-dua pasukan tidak melakukan sebarang serangan mereka hanya bertahan dan menunggu sahaja. Kemudian selepas hampir seminggu bertahan berlaku beberapa pertempuran kecil. Pada hari ke sepuluh berlaku pertempuran yang besar, pasukan tentera Muslimin melancarkan serangan dan hampir memenangi pertempuran ini tetapi satu pasukan berkuda tentera Cahrles Mantel berjaya menembusi pertahanan menuju ke lokasi penyimpanan harta rampasan perang.
Akibatnya tentera kaum Muslimin berpecah dan tidak mengikut arahan lagi. Ada yang mengejar musuh demi untuk mempertahankan harta rampasan perang yang disimpan. Mereka sudah tersasar tentang tujuan asal peperangan bukanlah untuk mendapatkan harta rampasan perang. Ketika ini Abdul Rahman Al-Ghifaqi memanggil pasukannya untuk kembali membentuk pertahanan namun keadaan sudah terlambat. Musuh mengambil peluang ketika huru hara ini dan melancarkan serangan yang menyebabkan tubuh Abdul Rahman Al-Ghifaqi dihinggapi anak panah sehingga dia jatuh dari kudanya dan gugur syahid.
Kesyahidan Abdul Rahman Al-Ghifaqi telah menyebabkan pasukan tentera Muslimin menjadi lebih berkecamuk. Jumlah korban tentera Muslimin semakin banyak namun jumlah sebenar tidak dapat dipastikan kerana terdapat pelbagai catatan penulis Eropah yang tidak seimbang dan tidak rasional. Hakikatnya jumlah korban tentera Muslimin besar.
Para tentera Muslimin akhirnya dapat kembali menguasai medan dengan bertahan dan kedua pasukan akhirnya berundur ke kubu masing-masing setelah bertempur hingga ke waktu petang. Tentera Muslimin terpaksa terima hakikat mereka sudah tewas dalam peperangan ini dengan melihat jumlah kematian tentera Muslimin yang ramai. Lalu pada malam harinya mereka membuat keputusan untuk berundur meninggalkan segala harta rampasan perang dan meninggalkan medan. Pengunduran tentera Muslimin ini tidak disedari oleh Charles Martel.
Pada keesokkan paginya tentera Charles Martel mendapati tentera Muslim telah tiada di kubu mereka lagi. Mereka telah beredar dengan meninggalkan segala harta rampasan perang. Dengan pengunduran tentera Muslim, ianya bermakna tentera Charles Martel telah memenangi pertempuran ini. Kemenangan ini mulai tersebar ke seluruh pelusuk Eropah. Ianya membangkitkan semangat golongan Nasrani untuk menumpaskan tentera Muslim.
Kekalahan tentera Muslim dalam peperangan Bilath As-Syuhada telah menghentikan perluasan wilayah ke Perancis. Berita gugur syahidnya Abdul Rahman Al-Ghifaqi telah sampai kepada gabenor Afrika iaitu Ubaidah bin Abdul Rahman Al-Qaisy. Laporan ini kemudiannya disampaikan kepada khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Abdul Malik bin Qathan Al-Fihri telah diperkenankan oleh khalifah untuk menjadi gabenor di Andalusia menggantikan Abdul Rahman Al-Ghifaqi.
Para pengkaji sirah dari kalangan Muslim dan Eropah membuat beberapa kesimpulan punca kekalahan tentera Abdul Rahman Al-Ghifaqi.
1. Tentera Muslim mulai terperdaya dengan habuan dunia kerana harta rampasan yang terlalu banyak. Mereka telah lupa peringatan dari Rasulullah s.a.w. Hadis dari Amru bin Auf Al-Ansary, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Maka demi Allah, bukan kefakiran yang aku takutkan ke atas kamu, namun yang aku khuatirkan atas kamu adalah dunia yang dilapangkan untuk kamu sebagaimana yang telah dilapangkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Lalu kamu mengejarnya ia membinasakan kamu sebagaiman ia membinasakan orang sebelum kamu.” (Riwayat Al-Bukhari)
2. Perasaan fanatik terhadap ras dan keturunan antara Arab dan Barbar yang tidak selesai sepenuhnya walaupun Abdul Rahman Al-Ghifaqi berusaha menyelesaikan masalah ini. Akibatnya terjadilah permusuhan dan irihati yang menyebabkan sukar menerima arahan dari kelompok berbeza.
3. Masyarakat Perancis masih mengenang sikap beberapa gabenor sebelum Abdul Rahman Al-Ghifaqi yang merobohkan gereja dan melakukan ketidakadilan, maka mereka khuatir akan menerima kesan yang sama sekiranya wilayah mereka dikuasai oleh Islam. Sedangkan Abdul Rahman Al-Ghifaqi bukanlah seperti yang mereka bayangkan.
Pastinya ada hikmah kenapa Allah tidak memberikan kemenangan kepada para tentera Muslim. Sekiranya kita hanya memikirkan secara logika akal, kemenangan tentera Muslim boleh menyebabkan Eropah seluruhnya menjadi wilayah Islam. Namun kita yakin dengan perancangan Allah, sewajarnya umat Islam bermuhasabah atas apa yang telah terjadi dalam lipatan sejarah untuk dijadikan pedoman.
Comments
Post a Comment